CLICKable

13 November 2010

Di Sebalik Kemisan Seorang Lelaki Tua

Di mana-mana jika berjalan di bandar pasti kita akan terjumpa denga peminta sedekah. Kadang-kadang kita hanya berlalu sahaja tanpa ada belas dan ihsan untuk membantu. Dan tidak terlepas juga bersangka buruk terhadap si peminta sedekah. Namun pernahkah kita terfikir apakah kisah di sebalik peminta sedekah itu?dan salahkah jika kita menghulur 50sen ke dalam mangkuk atau mungkin hanya tangan kotor dan busuk itu?berkira sangatkah kita dengan 50sen yang mungkin kita laburkan pada jalan yang salah?dan tidakkah kita terfikir dengan 50sen kita itu,mampu memberikan satu nyawa untuk terus hidup?
Mungkin ini salah satu kisah di sebalik kehidupan se pengemis.
*****************************************

Sebagaimana hari-hari sebelumnya, lelaki tua itu duduk di kaki lima hadapan Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu. Sambil di hadapannya terletak sebuah mangkuk yang sompek dan kotor. Pakaian lusuh dan koyak menjadi peneman setia tatkala pandangan dan jelingan daripada mata insan-insan yang lalu lalang di hadapannya tanpa ada rasa belas dan ihsan. Satu satu insan yang berjalan di hadapannya dilihat dengan mata yang bersinar tanda mengharap.
Terkadang air mata menitis mengenang nasib yang menimpa diri. Tidak  pernah terlintas di fikiran mahupun di hatinya untuk meminta nasib yang sebegini. Namun mungkin inilah yang dinamakan takdir. Segalanya telah tersurat. Hari demi hari terpaksa terduduk seharian meminta-minta hanya untuk meneruskan kehidupan dan mengharapkan sesuap nasi dapat dijamah pada malamnya. Dengan kudrat yang minima terpaksa mengengsot setiap hari dek nikmat kaki yang ditarik Tuhan. Mungkin ini ujian atau balasan atas kesilapan lampau yang dibuat.
Dalam sedang termenung mengenang nasib, mata si tua ini terpandang seorang lelaki yang berpakaian kemas; berkemeja dan bertali leher, berjalan di hadapannya. Dan secara automatiknya, ingatan terhadap anak lelakinya laju menyusuri fikiran. Anak lelaki tunggalnya yang menjadi kesayangan dan harapannya satu ketika dulu.
Teringat dia tatkala anaknya itu ingin melanjutkan pelajaran di kota, berhabis dia berusaha mencari wang perbelanjaan. Hatinya begitu gusar memikirkan permasalahan itu. Bukan mudah untuk mengumpulkan wang yang banyak dalam masa yang singkat. Tambahan pula bagi dirinya yang hanya bekerja kampung mengusahakan kebun sayur yang sekangkang kera. Saat itu hanya anaknya yang difikir. Wang perbelanjaan sendiri tidak pernah diambil kira. Bermacam-macam pekerjaan dilakukan, daripada bekerja kampung sehinggalah mengambil upah mencuci pakaian demi anaknya meneruskan pengajian. Dia tidak mahu anaknya berhenti belajar kerana dia tidak mahu anaknya menerima nasib yang sama sepertinya. Dan dia juga amat berharap agar kejayaan anaknya satu hari nanti mampu mengubah nasib dia dan keluarga.
Hari demi hari, hari pendaftaran anaknya semakin hampir. Namun jumlah wang yang diperoleh hasil usahanya masih terlalu sikit untuk dikatakan cukup. Wang yuran pun masih belum cukup apatahlagi wang perbelanjaan harian. Fikirannya semakin runsing dan anaknya asyik bertanyakan soal wang. Setiap kali ditanya, dia hanya menjawab “Jangan risau,ayah akan usahakan”,sambil senyuman lusuh terukir di bibir.
Pada pagi itu, dia keluar seawal pagi untuk ke pekan. Memandangkan hanya tinggal tiga hari untuk pendaftaran anaknya ke kolej, membuatkan dirinya nekad untuk membuat pinjaman dari ceti. Untuk mengumpulkan hampir seribu ringgit dalam masa dua hari sangat mustahil. Puas sudah dia berusaha menghubungi adik-adiknya di kota. Masing-masing tidak menjawab panggilan. Mungkin mereka sudah mual untuk mendengar kata-kata rayuan untuk meminjam wang sedangkan dia sendiri telah berkorban waktu remajanya untuk bekerja dan memberi peluang kepada adik-adik untuk bersekolah. Dan ini pula balasan yang diterima. Hanya kesabaran yang mampu ditanam di dalam lubuk hati yang paling dalam.
Dia sangat bersyukur kerana masih ada manusia yang memberi belas ihsan pinjaman wang untuknya. akhirnya, dia berjaya melihat anaknya menjejakkan kaki ke kolej.
Hari berganti hari, setahun sudah berlalu. Si bapa menunggu kepulangan anaknya yang tidak pernah kunjung pulang. Kerisauan di hati tiada siapa yang peduli. Sang ceti setiap hari mencari-cari,menuntut hutang mengugut untuk memberi mati. Si bapa pula tidak habis-habis memikir soal si anak yang entah hidup entahkan mati. Sedangkan jika ditanya pada si anak tentang bapanya, ‘tak pernah aku peduli’.
Si bapa nekad untuk ke kota mencari anaknya. Tempat pertama dituju, kolej kediaman. Sangatlah hampa hati di dada tika dikhabarkan bahawa anaknya sudah tidak lagi belajar di kolej tersebut. Denga hati yang resah dan terlalu hampa dia pulang ke desa. Di fikiran sentiasa berlegar, adakah wang yang aku kirimkan setiap bulan masih tidak mencukupi? Sedang dia berjalan, tidak semena-mena kepalanya di hentak dari belakang dan dia kemudian tidak lagi sedarkan diri.
Saat mebuka mata, dia terkejut. Sedang berada di dalam entah pondok mana, tangan dan kaki pula terikat tidak dapat bergerak. Baru sahaja hendak membuka mulut sudah ditumbuk dan dia terus terdiam. Dan hari itu terlah menjadi kenangan paling pahit buat dirinya.kerana hutang yang tertunggak dan kewangan yang tidak pernah stabil dia dipukul. Syukur saja nyawa tidak melayang tanda Tuhan itu memberi peluang untuk dia bertaubat di kemudian hari. Dan kerana terlampu teruk dipukul, kakinya tidak lagi dapat berfungsi.

Mujur saja ada seorang wanita tua dan berhati mulia terjumpanya di tempat dia dicampak oleh sang ceti yang kejam.dan bermula pada saat itu dia tidak lagi pernah memikirkan anaknya yang lupa daratan dan tidak mengenang budi. Dia hanya mampu meminta sedekah di tepi jalan bersama wanita tua tadi. Dan kini wanita itu sudah meninggal dunia, dia hanya tinggal seorang diri meniti hari. Tanpa ada orang yang peduli,dia hanya menanti nyawa untuk dibawa pergi..
Moral:
1)    Sebagai seorang anak, kenanglah jasa ayahmu
2)    Sebagai seorang manusia, berbantulah sesama kita
3)    Sebagai seorang manusia, janganlah terlalu berprasangka buruk
4)    Sebagai seorang manusia, jadilah manusia yang berperikemanusiaan..
Sekadar berkongsi dan terukan berkongsi..

No comments: