CLICKable

01 September 2009

Tasbih Dari Mekah

Selesai solat Asar, Pak Leman duduk berehat di beranda rumahnya. Seperti kebiasaannya, dia akan duduk di beranda rumah itu pada setiap petang dan melihat karenah anak-anak kecil kampung itu bermain. Pak Leman hidup bersendirian. Isterinya telah lama meninggal dunia. Hidup Pak Leman sungguh sunyi. Kerana itu jugalah dia tidak pernah memarah setiap kanak-kanak yang bermain dan membuat bising di halaman rumahnya saban petang. Sambil melihat telatah anak-anak itu, tangannya yang sedari tadi memegang tasbih digerak-gerakkan senada dengan zikir di bibirnya.


Semakin tangannya digerak-gerakkan, semakin banyak ingatannya pada Yang Maha Esa. Tanpa disedari, air matanya menitis ke pipi tua itu. Segala memori dan kenangan zaman hidup bersama keluarganya kembali menusuk ingatan. Sekilas itu juga zikir di bibirnya terhenti dan tasbih di tangannya digenggam erat. Ingatannya mula terpaut pada arwah anak tunggalnya.

***

Pak Leman sangat tegas dengan anaknya terutama dalam hal-hal disiplin diri. Pantang jika anaknya melakukan sebarang kesilapan, pasti akan dipukulnya. Dia tahu tidak wajar baginya terlalu garang dengan anaknya dengan terlalu suka memukul. Namun, baginya itulah satu-satunya jalan yang terbaik untuk mendidik anak supaya menjadi insan yang berguna.

Pada petang itu, hati Pak Leman sungguh panas apabila mendengar khabar angin dari rakan-rakannya bahawa anaknya bergaduh di sekolah. Melalui apa yang didengarnya, anaknya telah bertumbuk di sekolah hanya kerana seorang pelajar perempuan. Sungguh memalukan baginya. Mendengar berita yang menaikkan api kemarahannya, Pak Leman bergegas pulang ke rumah.

Setibanya di rumah, Pak Leman mematikan enjen motosikalnya dan terus memanjat tangga rumah, mencari anaknya.”Farid!Farid!” teriak Pak Leman memanggil anak lelaki tunggalnya itu. Farid yang dari tadi terbaring di atas sofa di ruang tamu bingkas bangun dengan riak wajah yang takut. Pak Leman terus menoleh ke arah anaknya itu.

Pandangan Pak leman terus dilemparkan ke arah pipi dan mata Farid yang lebam. Hatinya semakin panas kerana terbukti sudah bahawa khabar angin yang menyatakan anaknya bergaduh di sekolah memang benar. Terus dia mendapatkan anak lelakinya itu dan.. ’Pangg!’..satu tamparan singgah di pipi Farid dan telah membuatnya tersungkur di lantai. Farid tidak berani untuk melawan atau berkata apa-apa kerana dia tahu itu hanya akan membuatkan hati bapanya semakin panas.

”Anak tak guna!” jerit Pak Leman dan sejurus itu kolar baju Farid ditarik dan Farid ikut berdiri. ”Berani kau malukan aku. Tak payah kau cakap apa-apa. Aku dah tahu semuanya. Kau bergaduh di sekolah tadi kan?” Farid hanya mampu mengganggukkan kepalanya. Memang benar apa yang dikatakan bapanya itu.”Memalukan. Kenapa dengan kau ni? Pasal seorang perempuan pun kau nak gaduh? Kau dah gatal sangat nak kahwin? Makan pun aku tanggung, sibuk nak cari kekasih,” Pak Leman memang betul-betul marah dengan anaknya itu.

Farid mengerutkan keningnya. Dia tertanya-tanya. Siapakah yang trelah memfitnah dirinya sebegitu rupa. Memang benar dia telah bergaduh dengan Khairul, anak ketua kampung sebelah kerana seorang perempuan. Tapi bukan kerana mereka merebut perempuan itu untuk dijadikan kekasih. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkasih-kasihan dengan mana-mana perempuan sekalipun.


Ketika ini, Farid tidak mampu untuk membela diri di hadapan bapanya. Dia hanya mampu berdiam diri dan merelakan tubuhnya dipukul teruk. Badannya terasa lemah dan akhirnya dia terjelepok jatuh ke lantai. Bibir dan hidungnya berdarah. Keegoan Pak Leman yang tinggi menyebabkan dia tidak mempedulikan anaknya itu. Baginya memang itulah balasan kepada anak yang tidak mengenang budi dan sanggup memalukan bapanya sendiri. Melihat anaknya yang sudah terbaring dilantai, Pak Leman terus membiarkan tubuh itu dan berlalu pergi.

***

Air mata Pak Leman menitis lagi. Kesedihan dan penyesalannya atas perbuatan yang lalu sudah terlalu lambat untuk ditebus. Segala-galanya sudah terlambat. Farid tidak lagi bersamanya. Sudah tiada jalan untuknya memohon keampunan dari anaknya itu.

***

Pak Leman sudah bersedia untuk bertolak ke lapangan terbang. Hatinya resah gelisah untuk meninggalkan tanah air pada ketika itu. Perasaan gembira dan sedih bercampur-baur. Dia berasa gembira kerana dia bakal menjejakkan kaki ke tanah suci bagi menunaikan umrah. Namun dalam masa yang sama dia sedih untuk meninggalkan kampung itu. Dia risau kalau-kalau Farid akan melakukan sesuatu yang mungkin memalukan dirinya. Sejak peristiwa pergaduhan Farid dengan Khairul, hubungan mereka semakin renggang dan kepercayaannya terhadap anak tunggalnya itu juga semakin pudar saban hari.

Kebanyakkan orang-orang kampung sudah berada di perkarangan rumahnya bagi meraikan pemergiannya ke tanah suci dan mendoakan keselamatannya. Dia berasa terharu. Anaknya Farid sedang bersembang dengan rakan-rakannya. Namun wajahnya kelihatan sugul dan dia tidak seceria biasa. Sebaik terpandang wajah bapanya yang baru turun dari tangga, dia terus terdiam dan riak wajahnya terus berubah seperi takutkan sesuatu..

Pak Leman yang terperasankan pandangan Farid kepadanya serta-merta mengalihkan pandangan. Hatinya masih belum terubat sejak kejadian yang memalukan itu walaupun telah empat bulan berlalu. Dia juga kini masih belum mengetahui perkara yang sebenarnya. Farid juga tidak menjelaskan perkara itu kepadanya kerana bagi Farid perkara yang lalu biarlah berlalu. Farid pula menyedari akan sikap bapanya itu, dia terus menundukkan pandangan.

Semua beg-beg yang bakal dibawa Pak Leman telahpun dimasukkan ke dalam teksi. Setelah semuanya selesai, dia terus melangkah ke dalam teksi itu dan melabuhkan punggungnya. Pintu teksi itu ditutup dan teksi itu pun mula bergerak meninggalkan halaman rumah tersebut. Belum pun sempat meninggalkan perkarangan rumah, tiba-tiba teksi itu berhenti dan pintu di tempat duduk Pak Leman dikuak. Semua yang memandang tertanya-tanya kenapa.

Kelihatan Pak Leman keluar dari kenderaan itu dan berlari-lari anak mendapatkan Farid. Pantas dia merangkul tubuh muda anaknya itu dan dipeluk erat. Baru dia sedar bahawa perkara yang membuatkan dia resah dan gelisah untuk meninggalkan tanah air ini adalah anaknya. Inilah pertama kali dia akan berjauhan dengan anaknya itu. Farid juga membalas pelukan itu dengan satu pelukan yang sangat erat. Pelukan yang tidak pernah dirasai sepanjang hidupnya. Tanpa mereka sedari, anak-beranak itu mengalirkan air mata. Lama mereka berada dalam dakapan masing-masing.

Sebelum pelukan dilepaskan, Pak Leman berbisik ke telinga Farid, ”Ayah sayangkan Farid. Farid jaga diri baik-baik dan jangan malukan diri sendiri dan keluarga kita. Ayah akan pergi ke tanah suci. Di sana ayah akan sentiasa doakan agar keluarga kita akan bahagia dan hubungan kita akan semakin akrab. Farid doakanlah ayah selamat pergi dan balik ya,” bisik Pak Leman dengan suara yang tersekat-sekat.

”Farid pun sayangkan ayah juga,” balas Farid sayu. ”Farid sentiasa doakan keselamatan dan kesihatan ayah. Terima kasih ayah sebab besarkan Farid selama ni. Ayahlah orang yang Farid paling sayang sekali dalam dunia ni,” pelukan mereka semakin erat sebelum dilepaskan. Tangan Pak Leman dicium Farid. Disusulli dengan kucupan di dahi dan pipi Pak Leman. Air mata kedua-duanya berjujuran mencurah ke pipi. Saat itu dirasakan saat terindah bagi mereka berdua.

***

Setibanya di lapangan terbang, Pak Leman terus berkejar ke balai ketibaan untuk mendapatkan anaknya, Farid. Dia terlalu rindukan anaknya itu. Sepanjang berada di tanah suci, hatinya sering kali terkenangkan anaknya itu. Dia tidak lagi membenci Farid malahan dia sedar bahawa selama ini sememangnya dia sangat menyayangi Farid namun tidak pula dia pandai untuk meluahkannya.

Namun tanggapannya meleset apabila bukan Farid yang menyambutnya di lapangan terbang pada hari itu sebaliknya dua orang rakannya iaitu Karim dan Samad ysedang menunggunya. Pak Leman bertanyakan tentang Farid kepada rakannya itu.

”Ke mana Farid?” soal Pak Leman. Dia sangat ternanti-natikan jawapan dari mereka. Mungkinkah Farid sedang sakit? Atau anaknya itu masih lagi merajuk dengan sikapnya selama ini?

”Kita nak jumpa Farid lah ni Leman,” jawab Pak Karim. Wajahnya langsung tidak meyakinkan Pak Leman. Pak Leman masih lagi tertanya-tanya kejuan jenis apakah yang sedang mereka aturkan ini? Hatinya mula terasa bergoncang laju dan tidak tenang. Fikirannya hanya mengenai Farid.

Kereta yang mereka naiki itu kemudiannya berhenti di perkarangan rumah Pak Leman. Hatinya semakin risau setelah melihat ramai orang kampung yang berkumpul di rumahnya. Apa lagi apabila telinganya dapat menangkap bacaan surah Yaasin dari dalam rumah. Bergegas dia menuju ke dalam rumah.

Kakinya terus lemah longlai apabila tepandang sekujur tubuh yang dipeluk erat dua munggu lalu sebelum meninggalkan perkarangan rumah itu terbaring dan siap dikapan kemas. Matanya mula berkaca dan dia terus terduduk. ”Farid. Kenapa Farid tinggalkan ayah? Farid tak kesiankan ayah ke? Farid tak sayangkan ayah ke?” air mata Pak Leman terus mencurah-curah dari matanya.tangisannya semakin kuat.

Pak samad datang mendekati Pak Leman dan mengangkatnya menghampiri jenazah Farid. Pak Leman hanya menurut. Dahi tubuh kaku itu dikucup buat kali terakhir dan tangisannya semakin berlagu. Pak Samad dan Pak Karim cuba untuk menenangkannya. Mak Milah, jiran sebelah umahnya menghampirinya dan menghulurkan sekeping kertas kepada Pak Leman. ”Ini surat yang kami jumpa di bilik arwah. Bacalah,” ujar Mak Milah lembut.

Di atas kertas itu tertera tulisan tangan Farid. ’Kepada Ayah..’ Pak Leman terus membuka lipatan kertas itu dan dibacanya satu per satu perkataan yang tertera di atas kertas itu.

Ayah,

Di saat ayah membaca surat ini, Farid pasti kita tidak akan bertemu lagi. Saat ini Farid telah pun dijemput menghadap Illahi. Farid harap ayah dapat terima segala kehendak Yang Maha Esa ini dengan redha dan tabah. Farid yakin ayah mampu untuk hadapi segala dugaan ini. Di kesempatan ini juga Farid ingin memohon keampunan dari ayah atas segala dosa-dosa yang telah Farid lakukan kepada ayah. Farid tahu selama ayah membesarkan Farid selepas pemergian Ibu, Farid banyak menyusahkan ayah dan memalukan ayah. Farid minta maaf. Farid juga harap ayah dapat halalkan segala makan minum Farid yang ayah tanggung selama ini.

Farid juga nak jelaskan pada ayah mengenai peristiwa pergaduhan Farid dengan Khairul tempoh hari. Sebenarnya bukan Farid yang bersalah dalam hal tu. Farid sekadar ingin membantu pelajar perempuan tu daripada dibuli Khairul dan kawan-kawannya. Tapi Khairul dah salah faham dan dia terus memukul Farid. Farid cuba melawan tapi tak berdaya kerana mereka ramai. Tapi ayah jangan risau, Farid tak marahkan ayah sebab pukul Farid. Farid memang salah. Farid tak sepatutnya bergaduh dan memalukan ayah. Farid minta maaf sebab tak jelaskan perkara sebenarnya pada ayah selama ni.

Sebenarnya atas insiden itu juga Farid terkena penyakit yang meragut nyawa Farid ini. Menurut doktor, Farid mengalami kerosakan usus akibat hentakan yang kuat pada bahagian perut. Dan semua itu adalah kerana Farid bertumbuk dengan Khairul. Tambahan pula tumbukan ayah pada perut Farid tempoh hari memang amat menyakitkan. Walaubagaimanapun, Farid bersyukur kerana masih berpeluang mengiringi pemergian ayah ke tanah suci tempoh hari. Maafkan Farid kerana tidak memberitahu ayah mengenai penyakit yang Farid alami selama ni. Bukan niat Farid untuk membelakangi ayah tapi Farid tidak mahu ayah risau dan Farid tak mahu gara-gara Farid ayah batalkan penerbangan ayah ke Mekah.

Farid doakan ayah semoga bahagia menempuhi hari-hari mendatang dan tabah dalam menjalani dugaan dan ujian-Nya. Farid sayang ayah.

Anakmu,

Farid.

Sebaik sahaja tamat membaca surat tersebut, Pak Leman terus menundukkan kepalanya. Dia tidak sangka bahawa selama ini dia tersalah anggap terhadap anaknya itu.dia juga tidak menyangka bahawa sikapnya yang terlalu ego dan keras kepala itu juga telah menyebabkan satu-satu anaknya itu tiada lagi di sisinya saat ini. Dia tidak tahu lagi apa yang patut dilakukan ketika ini. Mahu menangis pun air matanya tidak mahu keluar. Apa yang pasti adalah dia benar menyesal dengan sikapnya selama ini. Dia terus terduduk sambil kepalanya disandarkan ke dinding. Tangannya diseluk ke dalam poket jubahnya. Tasbih yang dibeli di tanah suci dikeluarkan dari poket itu. Tasbih yang ingin dihadiahkan kepada anaknya itu digenggam erat. Kini niatnya itu terkubur bersama pemergian Farid. Air matanya menitis lagi.

***

Lamunan Pak Leman terhenti sejurus azan maghrib menusuk telinganya. Air mata yang menitis di pipi diseka dengan tangan tuanya. Pak Leman bingkas bangun dan menuju ke dalam rumah untuk menunaikan solat fardhu maghrib.

-TAMAT-