CLICKable

20 November 2009

20 November 2009

hari ni hari jumaat.tengah malam tadi baru ana sampai di tanah air.penat juga la naik dua flight..
semasa solat jumaat tadi di masjid terpandang insan-insan yang dulunya kerap kali bertegur sapa.sahabat yang sama-sama bersekolah sejak darjah satu sampai form five adalah insan pertama yang ana tegur di perkarangan masjid.terlampau banyak perubahan yang kelihatan..
pakcik yang selalu jual kuih naik motor tu dah semakin memutih rambutnya..junior-junior sekolah dulu pun dah semakin dewasa..berkumis pun ada..
itulah yang dinamakan kehidupan..
yang muda semakin tua..yang tua akan meninggalkan kita...bukan macam vampire cerita twilight tu..takkan mati sampai bila-bila..perfect kononnya..
itu sahaja coretan kali ini..ana baru mula bercuti sudah pula rasa rindu dengan teman-teman seperjuangan..
wassalam..

07 November 2009

Hati yang Suci

Setelah sekian lama meninggalkan blog ini, tiba-tiba terdetik di hati untuk menulis. Sungguh terharu perasaan hati apabila mendapat tahu cerpen Tasbih Dari Mekah telah berjaya menitiskan air mata seorang sahabat yang membaca. Alhamdulillah cerpen itu dapat memberi kesan sekurang-kurangnya kepada insan itu.

Kali ini tiada cerpen yang ingin di siarkan. Kesibukan dengan pelbagai tuagasan dan peperiksaan tidak mengizinkan untuk meneruskan penulisan. Namun niat untuk menulis cerpen-cerpen yang membawa pengajaran itu sentiasa terpahat di dalam hati. Semoga Allah sentiasa memberikan ruang dan peluang serta idea-idea untuk menulis dan berkongsi dengan sahabat-sahabat. InsyaALLAH..

Pada kesempatan kali ini, terasa ingin berkongsi cerita, berkongsi pengalaman. Mengenai seorang teman yang selayaknya digelar sahabat.

Sahabat ini yang pertama kali kami bertemu ketika di matrikulasi dan kini bersama-sama menuntut di dalam kampus yang sama, course yang sama, malah kelas juga sama. Sebagaimana insan-insan lain, sahabat ini juga mempunyai segala kelemahan dari pandangan mata orang lain termasuk diri ini pada permulaan ukhwah yang terjalin. Disebabkan aliran pemikiran yang jauh berbeza kami tidak dapat bersepakat dalam segala urusan. Walau tiada perkelahian pernah berlaku antara kami, namun tiada juga persepakatan yang wujud.

Namun disebabkan latarbelakang keluarga yang serupa, perkongsian jadual harian telah membuka akal dan fikiran masing-masing untuk belajar menerima setiap insan yang ada. Tempoh pengajian yang panjang mendorong kami untuk mengenali erti bersyukur dengan insan-insan di sekeliling.

Insan yang dulunya hanya dipandang sebelah mata dan kehadirannya sama seperti ketiadaannya menjadi tempat meluahkan segala perasaan dan perkongsian pendapat. Saat yang berdetik, minit yang berlalu, jam yang berganti, hari berlalu pergi dan bulan-bulan yang mengiringi telah mengakrabkan hubungan kami.

Sekian lama ukhwah ini terjalin, ana kembali terkenang saat-saat permulaan ukhwah kami. Sahabatku ini sudah banyak berubah. Alhamdulillah perubahan yang sangat positif. Kalau dulu banyak kesilapannya yang perlu ditegur kini dia banyak menegur kesilapan sahabat-sahabat lain. Walau usahanya sedikit namun niat suci untuk mengajak sahabat-sahabat lain mendekati Allah sentiasa terpahat dalam hati. Kadang terasa malu dengan dirinya apabila kesilapan diri ditegur.

Kini baru ana sedari bahawa sahabat itu memiliki segumpal hati yang suci. Berbanding dengan diri ini, yang sentiasa dipandang suci oleh insan-insan di sisi. Namun tahukah kalian segumpal daging yang bernama hati di dalam tubuh ini tidak sesuci sahabat itu?
Ya Allah..bimbinglah hambamu ini untuk membimbing diriku sendiri...

Sabda Rasullah SAW :-
"Ketahuilah, sesungguhnya di dalam diri ada sebuku daging, sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh, dan sekiranya ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah sebuku daging itu adalah hati."

01 September 2009

Tasbih Dari Mekah

Selesai solat Asar, Pak Leman duduk berehat di beranda rumahnya. Seperti kebiasaannya, dia akan duduk di beranda rumah itu pada setiap petang dan melihat karenah anak-anak kecil kampung itu bermain. Pak Leman hidup bersendirian. Isterinya telah lama meninggal dunia. Hidup Pak Leman sungguh sunyi. Kerana itu jugalah dia tidak pernah memarah setiap kanak-kanak yang bermain dan membuat bising di halaman rumahnya saban petang. Sambil melihat telatah anak-anak itu, tangannya yang sedari tadi memegang tasbih digerak-gerakkan senada dengan zikir di bibirnya.


Semakin tangannya digerak-gerakkan, semakin banyak ingatannya pada Yang Maha Esa. Tanpa disedari, air matanya menitis ke pipi tua itu. Segala memori dan kenangan zaman hidup bersama keluarganya kembali menusuk ingatan. Sekilas itu juga zikir di bibirnya terhenti dan tasbih di tangannya digenggam erat. Ingatannya mula terpaut pada arwah anak tunggalnya.

***

Pak Leman sangat tegas dengan anaknya terutama dalam hal-hal disiplin diri. Pantang jika anaknya melakukan sebarang kesilapan, pasti akan dipukulnya. Dia tahu tidak wajar baginya terlalu garang dengan anaknya dengan terlalu suka memukul. Namun, baginya itulah satu-satunya jalan yang terbaik untuk mendidik anak supaya menjadi insan yang berguna.

Pada petang itu, hati Pak Leman sungguh panas apabila mendengar khabar angin dari rakan-rakannya bahawa anaknya bergaduh di sekolah. Melalui apa yang didengarnya, anaknya telah bertumbuk di sekolah hanya kerana seorang pelajar perempuan. Sungguh memalukan baginya. Mendengar berita yang menaikkan api kemarahannya, Pak Leman bergegas pulang ke rumah.

Setibanya di rumah, Pak Leman mematikan enjen motosikalnya dan terus memanjat tangga rumah, mencari anaknya.”Farid!Farid!” teriak Pak Leman memanggil anak lelaki tunggalnya itu. Farid yang dari tadi terbaring di atas sofa di ruang tamu bingkas bangun dengan riak wajah yang takut. Pak Leman terus menoleh ke arah anaknya itu.

Pandangan Pak leman terus dilemparkan ke arah pipi dan mata Farid yang lebam. Hatinya semakin panas kerana terbukti sudah bahawa khabar angin yang menyatakan anaknya bergaduh di sekolah memang benar. Terus dia mendapatkan anak lelakinya itu dan.. ’Pangg!’..satu tamparan singgah di pipi Farid dan telah membuatnya tersungkur di lantai. Farid tidak berani untuk melawan atau berkata apa-apa kerana dia tahu itu hanya akan membuatkan hati bapanya semakin panas.

”Anak tak guna!” jerit Pak Leman dan sejurus itu kolar baju Farid ditarik dan Farid ikut berdiri. ”Berani kau malukan aku. Tak payah kau cakap apa-apa. Aku dah tahu semuanya. Kau bergaduh di sekolah tadi kan?” Farid hanya mampu mengganggukkan kepalanya. Memang benar apa yang dikatakan bapanya itu.”Memalukan. Kenapa dengan kau ni? Pasal seorang perempuan pun kau nak gaduh? Kau dah gatal sangat nak kahwin? Makan pun aku tanggung, sibuk nak cari kekasih,” Pak Leman memang betul-betul marah dengan anaknya itu.

Farid mengerutkan keningnya. Dia tertanya-tanya. Siapakah yang trelah memfitnah dirinya sebegitu rupa. Memang benar dia telah bergaduh dengan Khairul, anak ketua kampung sebelah kerana seorang perempuan. Tapi bukan kerana mereka merebut perempuan itu untuk dijadikan kekasih. Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berkasih-kasihan dengan mana-mana perempuan sekalipun.


Ketika ini, Farid tidak mampu untuk membela diri di hadapan bapanya. Dia hanya mampu berdiam diri dan merelakan tubuhnya dipukul teruk. Badannya terasa lemah dan akhirnya dia terjelepok jatuh ke lantai. Bibir dan hidungnya berdarah. Keegoan Pak Leman yang tinggi menyebabkan dia tidak mempedulikan anaknya itu. Baginya memang itulah balasan kepada anak yang tidak mengenang budi dan sanggup memalukan bapanya sendiri. Melihat anaknya yang sudah terbaring dilantai, Pak Leman terus membiarkan tubuh itu dan berlalu pergi.

***

Air mata Pak Leman menitis lagi. Kesedihan dan penyesalannya atas perbuatan yang lalu sudah terlalu lambat untuk ditebus. Segala-galanya sudah terlambat. Farid tidak lagi bersamanya. Sudah tiada jalan untuknya memohon keampunan dari anaknya itu.

***

Pak Leman sudah bersedia untuk bertolak ke lapangan terbang. Hatinya resah gelisah untuk meninggalkan tanah air pada ketika itu. Perasaan gembira dan sedih bercampur-baur. Dia berasa gembira kerana dia bakal menjejakkan kaki ke tanah suci bagi menunaikan umrah. Namun dalam masa yang sama dia sedih untuk meninggalkan kampung itu. Dia risau kalau-kalau Farid akan melakukan sesuatu yang mungkin memalukan dirinya. Sejak peristiwa pergaduhan Farid dengan Khairul, hubungan mereka semakin renggang dan kepercayaannya terhadap anak tunggalnya itu juga semakin pudar saban hari.

Kebanyakkan orang-orang kampung sudah berada di perkarangan rumahnya bagi meraikan pemergiannya ke tanah suci dan mendoakan keselamatannya. Dia berasa terharu. Anaknya Farid sedang bersembang dengan rakan-rakannya. Namun wajahnya kelihatan sugul dan dia tidak seceria biasa. Sebaik terpandang wajah bapanya yang baru turun dari tangga, dia terus terdiam dan riak wajahnya terus berubah seperi takutkan sesuatu..

Pak Leman yang terperasankan pandangan Farid kepadanya serta-merta mengalihkan pandangan. Hatinya masih belum terubat sejak kejadian yang memalukan itu walaupun telah empat bulan berlalu. Dia juga kini masih belum mengetahui perkara yang sebenarnya. Farid juga tidak menjelaskan perkara itu kepadanya kerana bagi Farid perkara yang lalu biarlah berlalu. Farid pula menyedari akan sikap bapanya itu, dia terus menundukkan pandangan.

Semua beg-beg yang bakal dibawa Pak Leman telahpun dimasukkan ke dalam teksi. Setelah semuanya selesai, dia terus melangkah ke dalam teksi itu dan melabuhkan punggungnya. Pintu teksi itu ditutup dan teksi itu pun mula bergerak meninggalkan halaman rumah tersebut. Belum pun sempat meninggalkan perkarangan rumah, tiba-tiba teksi itu berhenti dan pintu di tempat duduk Pak Leman dikuak. Semua yang memandang tertanya-tanya kenapa.

Kelihatan Pak Leman keluar dari kenderaan itu dan berlari-lari anak mendapatkan Farid. Pantas dia merangkul tubuh muda anaknya itu dan dipeluk erat. Baru dia sedar bahawa perkara yang membuatkan dia resah dan gelisah untuk meninggalkan tanah air ini adalah anaknya. Inilah pertama kali dia akan berjauhan dengan anaknya itu. Farid juga membalas pelukan itu dengan satu pelukan yang sangat erat. Pelukan yang tidak pernah dirasai sepanjang hidupnya. Tanpa mereka sedari, anak-beranak itu mengalirkan air mata. Lama mereka berada dalam dakapan masing-masing.

Sebelum pelukan dilepaskan, Pak Leman berbisik ke telinga Farid, ”Ayah sayangkan Farid. Farid jaga diri baik-baik dan jangan malukan diri sendiri dan keluarga kita. Ayah akan pergi ke tanah suci. Di sana ayah akan sentiasa doakan agar keluarga kita akan bahagia dan hubungan kita akan semakin akrab. Farid doakanlah ayah selamat pergi dan balik ya,” bisik Pak Leman dengan suara yang tersekat-sekat.

”Farid pun sayangkan ayah juga,” balas Farid sayu. ”Farid sentiasa doakan keselamatan dan kesihatan ayah. Terima kasih ayah sebab besarkan Farid selama ni. Ayahlah orang yang Farid paling sayang sekali dalam dunia ni,” pelukan mereka semakin erat sebelum dilepaskan. Tangan Pak Leman dicium Farid. Disusulli dengan kucupan di dahi dan pipi Pak Leman. Air mata kedua-duanya berjujuran mencurah ke pipi. Saat itu dirasakan saat terindah bagi mereka berdua.

***

Setibanya di lapangan terbang, Pak Leman terus berkejar ke balai ketibaan untuk mendapatkan anaknya, Farid. Dia terlalu rindukan anaknya itu. Sepanjang berada di tanah suci, hatinya sering kali terkenangkan anaknya itu. Dia tidak lagi membenci Farid malahan dia sedar bahawa selama ini sememangnya dia sangat menyayangi Farid namun tidak pula dia pandai untuk meluahkannya.

Namun tanggapannya meleset apabila bukan Farid yang menyambutnya di lapangan terbang pada hari itu sebaliknya dua orang rakannya iaitu Karim dan Samad ysedang menunggunya. Pak Leman bertanyakan tentang Farid kepada rakannya itu.

”Ke mana Farid?” soal Pak Leman. Dia sangat ternanti-natikan jawapan dari mereka. Mungkinkah Farid sedang sakit? Atau anaknya itu masih lagi merajuk dengan sikapnya selama ini?

”Kita nak jumpa Farid lah ni Leman,” jawab Pak Karim. Wajahnya langsung tidak meyakinkan Pak Leman. Pak Leman masih lagi tertanya-tanya kejuan jenis apakah yang sedang mereka aturkan ini? Hatinya mula terasa bergoncang laju dan tidak tenang. Fikirannya hanya mengenai Farid.

Kereta yang mereka naiki itu kemudiannya berhenti di perkarangan rumah Pak Leman. Hatinya semakin risau setelah melihat ramai orang kampung yang berkumpul di rumahnya. Apa lagi apabila telinganya dapat menangkap bacaan surah Yaasin dari dalam rumah. Bergegas dia menuju ke dalam rumah.

Kakinya terus lemah longlai apabila tepandang sekujur tubuh yang dipeluk erat dua munggu lalu sebelum meninggalkan perkarangan rumah itu terbaring dan siap dikapan kemas. Matanya mula berkaca dan dia terus terduduk. ”Farid. Kenapa Farid tinggalkan ayah? Farid tak kesiankan ayah ke? Farid tak sayangkan ayah ke?” air mata Pak Leman terus mencurah-curah dari matanya.tangisannya semakin kuat.

Pak samad datang mendekati Pak Leman dan mengangkatnya menghampiri jenazah Farid. Pak Leman hanya menurut. Dahi tubuh kaku itu dikucup buat kali terakhir dan tangisannya semakin berlagu. Pak Samad dan Pak Karim cuba untuk menenangkannya. Mak Milah, jiran sebelah umahnya menghampirinya dan menghulurkan sekeping kertas kepada Pak Leman. ”Ini surat yang kami jumpa di bilik arwah. Bacalah,” ujar Mak Milah lembut.

Di atas kertas itu tertera tulisan tangan Farid. ’Kepada Ayah..’ Pak Leman terus membuka lipatan kertas itu dan dibacanya satu per satu perkataan yang tertera di atas kertas itu.

Ayah,

Di saat ayah membaca surat ini, Farid pasti kita tidak akan bertemu lagi. Saat ini Farid telah pun dijemput menghadap Illahi. Farid harap ayah dapat terima segala kehendak Yang Maha Esa ini dengan redha dan tabah. Farid yakin ayah mampu untuk hadapi segala dugaan ini. Di kesempatan ini juga Farid ingin memohon keampunan dari ayah atas segala dosa-dosa yang telah Farid lakukan kepada ayah. Farid tahu selama ayah membesarkan Farid selepas pemergian Ibu, Farid banyak menyusahkan ayah dan memalukan ayah. Farid minta maaf. Farid juga harap ayah dapat halalkan segala makan minum Farid yang ayah tanggung selama ini.

Farid juga nak jelaskan pada ayah mengenai peristiwa pergaduhan Farid dengan Khairul tempoh hari. Sebenarnya bukan Farid yang bersalah dalam hal tu. Farid sekadar ingin membantu pelajar perempuan tu daripada dibuli Khairul dan kawan-kawannya. Tapi Khairul dah salah faham dan dia terus memukul Farid. Farid cuba melawan tapi tak berdaya kerana mereka ramai. Tapi ayah jangan risau, Farid tak marahkan ayah sebab pukul Farid. Farid memang salah. Farid tak sepatutnya bergaduh dan memalukan ayah. Farid minta maaf sebab tak jelaskan perkara sebenarnya pada ayah selama ni.

Sebenarnya atas insiden itu juga Farid terkena penyakit yang meragut nyawa Farid ini. Menurut doktor, Farid mengalami kerosakan usus akibat hentakan yang kuat pada bahagian perut. Dan semua itu adalah kerana Farid bertumbuk dengan Khairul. Tambahan pula tumbukan ayah pada perut Farid tempoh hari memang amat menyakitkan. Walaubagaimanapun, Farid bersyukur kerana masih berpeluang mengiringi pemergian ayah ke tanah suci tempoh hari. Maafkan Farid kerana tidak memberitahu ayah mengenai penyakit yang Farid alami selama ni. Bukan niat Farid untuk membelakangi ayah tapi Farid tidak mahu ayah risau dan Farid tak mahu gara-gara Farid ayah batalkan penerbangan ayah ke Mekah.

Farid doakan ayah semoga bahagia menempuhi hari-hari mendatang dan tabah dalam menjalani dugaan dan ujian-Nya. Farid sayang ayah.

Anakmu,

Farid.

Sebaik sahaja tamat membaca surat tersebut, Pak Leman terus menundukkan kepalanya. Dia tidak sangka bahawa selama ini dia tersalah anggap terhadap anaknya itu.dia juga tidak menyangka bahawa sikapnya yang terlalu ego dan keras kepala itu juga telah menyebabkan satu-satu anaknya itu tiada lagi di sisinya saat ini. Dia tidak tahu lagi apa yang patut dilakukan ketika ini. Mahu menangis pun air matanya tidak mahu keluar. Apa yang pasti adalah dia benar menyesal dengan sikapnya selama ini. Dia terus terduduk sambil kepalanya disandarkan ke dinding. Tangannya diseluk ke dalam poket jubahnya. Tasbih yang dibeli di tanah suci dikeluarkan dari poket itu. Tasbih yang ingin dihadiahkan kepada anaknya itu digenggam erat. Kini niatnya itu terkubur bersama pemergian Farid. Air matanya menitis lagi.

***

Lamunan Pak Leman terhenti sejurus azan maghrib menusuk telinganya. Air mata yang menitis di pipi diseka dengan tangan tuanya. Pak Leman bingkas bangun dan menuju ke dalam rumah untuk menunaikan solat fardhu maghrib.

-TAMAT-

27 August 2009

nenek...

Cerpen ini saya karang semasa membuat asignment. Semoga karya saya yang asli ini sedikit sebanyak memberikan pedoman kita dalam meneruskan kehidupan seharian...


Keletihan bekerja seharian membuatkan perutnya terasa lapar. Oleh itu Zaidi membuat keputusan untuk berhenti berehat seketika di warung mamak yang biasa disinggahnya. Setibanya di warung itu dia terus mendapatkan tempat yang paling dekat dengan keretanya. Zaidi gemar mengambil tempat duduk itu kerana dia suka melihat telatah manusia-manusia yang lalu lalang di tepi jalan itu. Ketika sedang termenung, Zaidi terpandang kelibat seorang makcik tua yang sedang melintas jalan dipimpin kanak-kanak. Mungkin kanak-kanak itu adalah cucunya. Sekilas itu juga, memori Zaidi terimbau kenangan bersama arwah neneknya.


Bagi Zaidi dia hanya mempunyai seorang nenek. Dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu mahupun ayah. Menurut nenek, ibu dan ayahnya telah meninggal dunia akibat dibunuh dalam satu insiden ragut ketika Zaidi masih berusia setahun. Ketika itu Zaidi berada di rumah neneknya di kampung. Kini, bagi Zaidi neneknya adalah segala-galanya.

Setiap pagi nenek akan mengejutkan Zaidi dari tidur untuk menunaikan solat subuh. Selepas itu, dia akan segera bersiap untuk ke sekolah. Walaupun nenek sudah tua dan tidak mempunyai pekerjaan, wang pencen arwah datuk banyak membantu kehidupan mereka berdua. Wang itu jugalah yang membolehkan Zaidi bersekolah seperti kanak-kanak lain. Selain itu hasil tanaman sayur-sayuran yang ditanam nenek di belakang rumah juga nenek jual dan hasil jualan itu digunakan untuk mereka menjamah makanan setiap hari.

Zaidi sangat kasihan akan neneknya. Tubuh tua itu sangat aktif bekerja walaupun kudrat itu tidak selayaknya bekerja keras dari pandangan mata manusia normal. Oleh itu, Zaidi sering membantu neneknya dalam kerja-kerja seharian termasuklah berkebun, menjual sayur - sayuran di pasar malam, dan melakukan kerja-kerja rumah.

Pada suatu hari ketika Zaidi pulang dari sekolah, dia terus mendapatkan neneknya. Seperti biasa, setelah kepenatan berjalan kaki dari sekolah ke rumah, dia akan mencari neneknya untuk menceritakan apa yang berlaku di sekolah. Neneklah sahabat baiknya dan nenek jugalah ibu dan bapanya.

”Nenek! Oh, nenek!” teriak Zaidi. Dua tiga kali dia memanggil neneknya namun tidak berjawab. Zaidi mula risau. Dia cuba mencari di dapur, namun neneknya tiada. Dia cuba pula mencari di kebun belakang rumah, juga tiada. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu,”mungkin nenek penat. Mesti dia sedang berehat di biliknya,” katanya sendiri.

Sebaik sahaja pintu bilik nenek dikuak, senyuman mula terukir di bibir Zaidi. Nenek kesayangannya itu sedang terbaring di atas katil, melelapkan mata. Mungkin nenek terlalu penat berkebun,bisik hatinya. Namun senyumannya terus pudar dan berganti cemas sebaik sahaja terpandang kaki nenek yang berbalut kain putih dan terdapat kesan-kesan darah. Pantas dia mengejutkan neneknya

”Nenek!Nenek! Bangun!”sambil tangannya menggoyang-goyangkan tubuh tua itu. Nenek yang sedari tadi nyenyak tidur membuka matanya. Tercengang-cengang nenek dibuat Zaidi.

”Eh, Zaidi dah balik? Dah lama ke?”tanya nenek.

Zaidi yang sedari tadi risau akan keadaan neneknya langsung tidak mempedulikan pertanyaan itu. ”Nenek tak apa-apa ke?Kenapa dengan kaki nenek ni?Kenapa berdarah?Macam mana boleh jadi macam ni?” bertubi-tubi soalan diajukan kepada neneknya. Nenek mula mengerutkan dahinya.

”Nenek tak apa-apa,” balas neneknya tenang.

”Tapi kenapa kaki nenek berdarah? Siapa yang buat nenek?” sekali lagi soalan ditujukan kepada neneknya.

Dengan tenang neneknya menjawab,”Nenek tak apa-apa. Janganlah Zaidi risau. Nenek luka sikit je. Tadi masa nenek berkebun di belakang tu nenek tak perasan cangkul yang nenek letak kat sebelah kaki nenek. Nenek tersepak. Tu yang berdarah tu,..” belum pun sempat nenek meneruskan ceritanya, Zaidi menyampuk lagi. Risau sungguh dia terhadap keadaan nenek kesayangannya itu,” Jadi nenek tak pergi klinik ke? Kenapa tak mintak tolong Pak Kasim hantarkan nenek pergi klinik?”

Nenek menggeleng-gelengkan kepalanya,”Zaidi,Zaidi. Jangan risau. Sudah nenek pergi ke klinik tadi. Mujurlah ada Pak Kasim kau tadi. Kebetulan dia datang nak bagi baja yang nenek kirim semalam. Dialah yang bawak nenek pergi klinik tadi,”jelas nenek panjang lebar.”Zaidi dah makan ke belum ni?”tanya nenek yang baru perasan Zaidi masih lagi beruniform sekolah.

”Belum lagi. Tak apa lah. Nanti Zaidi masak nasi sendiri. Telur pun ada kan? Zaidi goreng je. Nenek berehat lah ya. Nanti Zaidi bawakkan makanan untuk nenek,”jawab Zaidi. Dia sememangnya tidak mahu menyusahkan neneknya tambahan pula neneknya sedang sakit. Namun nenek dengan selambanya terus bangun dari katil dan mula melangkah keluar dari bilik.

”Nenek nak ke mana tu?”soal Zaidi.

”Nak ke dapur la. Kan Zaidi belum makan lagi. Ni nenek nak masak la ni,”balas nenek.

”Nenek kan tak sihat, nenek duduk je la dalam bilik ni, berehat. Tak payah la susah-susah. Lagipun kan Zaidi pandai masak nasi sendiri, bukan susah pun. Setakat gorerng telur je bukannya susah,”nasihat Zaidi kepada neneknya. Namun nenek seakan-akan tidak mendengar kata-kata cucunya itu dan terus berlalu pergi meninggalkan bilik itu. Zaidi hanya mampu terdiam dan tidak mahu melawan kata-kata neneknya. Air mata mula menitis ke pipinya. Begitulah kasih sayang neneknya terhadap dirinya. Nenek sanggup melakukan apa sahaja demi Zaidi, cucu kesayangannya. Kerana itu jugalah dia tidak pernah melawan segala kata-kata nenek kesayangannya itu.

Kenangan bersama arwah nenek sangat istimewa buat Zaidi. Pemergian nenek dari hidupnya juga merupakan sebuah kehilangan yang tidak mampu untuknya menanggung seorang diri. Namun dia tahu dia harus tabah dan kehidupan mesti diteruskan.

Zaidi menunggang motosikal dengan lajunya. Kegembiraan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM itu patut dikongsikan segera dengan neneknya. Nenek adalah orang yang paling utama dan berhak mengetahui kecemerlangannya itu. Kejayaan yang terhasil daripada segala usahanya selama ini sememangnya direalisasikan demi nenek tercinta.

Setibanya di rumah, Zaidi terus mendapatkan neneknya,”Nenek!Nenek!”

laung Zaidi. Nenek yang ketika itu sedang membelek-belek pokok bunga dilaman terkejut dan terpinga-pinga mendengar suara Zaidi yang seolah-olah dikejar hantu itu. Namun senyuman manis di bibir Zaidi telah menghilangkan segala keraguan yang betandang di hatinya.

”Ada apa ni?”soal nenek setelah Zaidi turun dari motosikalnya.”Macam orang kena kejar hantu je,”

”Zaidi berjaya nek! Zaidi berjaya! Zaidi dapat 10 A,” beritahu Zaidi dengan suara yang lantang sambil tangannya memeluk-meluk tubuh neneknya itu. Pipi nenek dicium-cium berulang kali. Gembira sungguh Zaidi.

Nenek tersenyum sambil air mata kegembiraan menitis ke pipinya. ”Syukurlah. Segala usaha cucu nenek akhirnya berhasil,”hanya itu yang terungkap di bibir nenek tua itu.

Pada petang itu nenek memasak pelbagai jenis makanan untuk Zaidi. Walaupun ditegah Zaidi kerana takut-takut makanan itu tidak habis,membazir pula jadinya. Namun, nenek hanya teruskan sahaja niatnya dan alasannya untuk memberikan makanan itu kepada Pak Kasim yang hidup keseorangan di rumah sebelah. Dan Zaidi tidak mampu untuk melawan neneknya.

Ketika sedang membantu neneknya memasak, Zaidi berasa agak aneh dengan sikap neneknya yang agak senyap. Kebiasaannya nenek akan selalu bercerita dan bercakap tidak henti-henti.

”Kenapa nenek senyap je ni?”tanya Zaidi memecah kesunyian.

”Tak ada la. Nenek Cuma terlalu gembira dengan kejayaan cucu nenek ni ha,” air matanya sekali lagi menitis ke pipi.

”Tapi kenapa nenek macam sedih je? Tengok tu. Menangis pula,”balas Zaidi, sangsi.

”Nenek bukan sedih. Nenek terlalu gembira,” jelas neneknya. ”Zaidi..”perlahan suara neneknya.”Nenek nak ucapkan tahniah pada Zaidi. Nenek bangga dapat cucu macam Zaidi. Zaidi tak penah mengeluh dengan keadaan kita dan Zaidi sentiasa tabah menghadapi segala-galanya,” Zaidi terdiam.” Lepas ni Zaidi mesti kena sambung belajar. Zaidi kena buktikan kepada semua orang bahawa Zaidi mampu lakukan yang terbaik. Nenek harap lepas ni Zaidi dapat menjaga diri Zaidi sendiri sebaik ungkin.Zaidi kena ingat yang nenek ni dah tua dan tak mampu hidup lama. Bila nenek dah tak ada nanti Zaidi kena ingat yang nenek sentiasa sayangkan Zaidi. Jangan buat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah Zaidi. Ingat tu,” pesan nenek panjang lebar.

”Kenapa pula nenek cakap macam tu?lain macam je,”Zaidi berasa aneh.

”Tak ada apa-apa lah. Sudahlah tu. Mari tolong nenek masak,” jawab neneknya.

Selesai solat Maghrib pada malam itu, Zaidi terus menuju ke dapur manakala nenek masih lagi di atas tikar sembahyangnya untuk menunaikan solat sunat. Katanya ingin menunaikan solat sunat hajat. Ssetelah lebih setengah jam menunggu di dapur Zaidi berasa resah dan menuju ke bilik mencari neneknya. Sekilas pintu dikuak, Zaidi terus tergamam melihat sekujur tubuh yang masih bertelekung terbaring di atas sejadah.

”Nenek!” teriak Zaidi. Dia pantas mendapatkan tubuh neneknya yang sudah terbaring itu. Tangannya diletakkan ke pergelangan tangan neneknya. ”Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji’un” hanya itu yang terlafaz di bibirnya. Air mata mula membasahi pipinya. Kesedihannya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Sekujur tubuh yang tadinya menjadi makmum di belakangnya kini tidak lagi bernyawa.

Mata Zaidi mula berkaca. Panrtas dia menyeka air mata itu sebelum sempat jatuh ke pipi. Setiap memori bersama arwah neneknya semamangnya sangat pilu baginya untuk dikenang. Kini, Zaidi kesayangan neneknya itu telah membuktikan kepada semua orang bahawa dia mampu menjadi insan yang berguna kepada mesyarakat setelah berjaya memiliki sebuah syarikat pakaian terbesar di Malaysia dengan lima cawangan di seluruh negara.

26 August 2009

Perjalanan Hidup

Aku yang masih di perjalanan hidup ini

Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi


Aku yang masih di perhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara ke serata dunia
Mengejar siang dan malam
Surut dan pasang
Mencari suatu kebebasan
Mencari satu kedamaian


Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan milikku

Oh Tuhanku
Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya pada Mu

MUHASABAH CINTA

www.iluvislam.com


Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu

Kata - kata cinta terucap indah
Mengalir berzikir di kidung doa ku
Sakit yang ku rasa biar
Jadi penawar dosaku

Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Ilahi Muhasabat cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

23 August 2009

insan...

hidup ni memang bukan senang..kadang -kadang kita tengok orang lain sentiasa happy tapi kita rasa yang kita ni tak happy..jadi secara automatiknya kita akan rasa jealous dengan orang tu..tapi tak selalu kita terfikir yang masih ada orang yang mencemburui kita..semuanya hanyankerana kita kurang berfikir..dan jugak kerana mungkin kita tidak tahu erti bersyukur..

18 March 2009

Assalamualaikum...

Assalamualaikum wbt..
praise be to god..akhirnya ipin berjaya juga untuk me'release' blog ni...hehehe...kepada semua pembaca,teruskanlah membaa blog ni ya..mungkin blog ni tak lah sehebat blog-blog org lain..tapi sekurang-kurangnya tak lah seteruk mana kan?...at least ipin dah cuba sedaya upaya ipin untuk memproduce blog ni...hopefully ipin dapat wat semua orang happy bile bace blog ni...huhu~