CLICKable

27 August 2009

nenek...

Cerpen ini saya karang semasa membuat asignment. Semoga karya saya yang asli ini sedikit sebanyak memberikan pedoman kita dalam meneruskan kehidupan seharian...


Keletihan bekerja seharian membuatkan perutnya terasa lapar. Oleh itu Zaidi membuat keputusan untuk berhenti berehat seketika di warung mamak yang biasa disinggahnya. Setibanya di warung itu dia terus mendapatkan tempat yang paling dekat dengan keretanya. Zaidi gemar mengambil tempat duduk itu kerana dia suka melihat telatah manusia-manusia yang lalu lalang di tepi jalan itu. Ketika sedang termenung, Zaidi terpandang kelibat seorang makcik tua yang sedang melintas jalan dipimpin kanak-kanak. Mungkin kanak-kanak itu adalah cucunya. Sekilas itu juga, memori Zaidi terimbau kenangan bersama arwah neneknya.


Bagi Zaidi dia hanya mempunyai seorang nenek. Dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu mahupun ayah. Menurut nenek, ibu dan ayahnya telah meninggal dunia akibat dibunuh dalam satu insiden ragut ketika Zaidi masih berusia setahun. Ketika itu Zaidi berada di rumah neneknya di kampung. Kini, bagi Zaidi neneknya adalah segala-galanya.

Setiap pagi nenek akan mengejutkan Zaidi dari tidur untuk menunaikan solat subuh. Selepas itu, dia akan segera bersiap untuk ke sekolah. Walaupun nenek sudah tua dan tidak mempunyai pekerjaan, wang pencen arwah datuk banyak membantu kehidupan mereka berdua. Wang itu jugalah yang membolehkan Zaidi bersekolah seperti kanak-kanak lain. Selain itu hasil tanaman sayur-sayuran yang ditanam nenek di belakang rumah juga nenek jual dan hasil jualan itu digunakan untuk mereka menjamah makanan setiap hari.

Zaidi sangat kasihan akan neneknya. Tubuh tua itu sangat aktif bekerja walaupun kudrat itu tidak selayaknya bekerja keras dari pandangan mata manusia normal. Oleh itu, Zaidi sering membantu neneknya dalam kerja-kerja seharian termasuklah berkebun, menjual sayur - sayuran di pasar malam, dan melakukan kerja-kerja rumah.

Pada suatu hari ketika Zaidi pulang dari sekolah, dia terus mendapatkan neneknya. Seperti biasa, setelah kepenatan berjalan kaki dari sekolah ke rumah, dia akan mencari neneknya untuk menceritakan apa yang berlaku di sekolah. Neneklah sahabat baiknya dan nenek jugalah ibu dan bapanya.

”Nenek! Oh, nenek!” teriak Zaidi. Dua tiga kali dia memanggil neneknya namun tidak berjawab. Zaidi mula risau. Dia cuba mencari di dapur, namun neneknya tiada. Dia cuba pula mencari di kebun belakang rumah, juga tiada. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu,”mungkin nenek penat. Mesti dia sedang berehat di biliknya,” katanya sendiri.

Sebaik sahaja pintu bilik nenek dikuak, senyuman mula terukir di bibir Zaidi. Nenek kesayangannya itu sedang terbaring di atas katil, melelapkan mata. Mungkin nenek terlalu penat berkebun,bisik hatinya. Namun senyumannya terus pudar dan berganti cemas sebaik sahaja terpandang kaki nenek yang berbalut kain putih dan terdapat kesan-kesan darah. Pantas dia mengejutkan neneknya

”Nenek!Nenek! Bangun!”sambil tangannya menggoyang-goyangkan tubuh tua itu. Nenek yang sedari tadi nyenyak tidur membuka matanya. Tercengang-cengang nenek dibuat Zaidi.

”Eh, Zaidi dah balik? Dah lama ke?”tanya nenek.

Zaidi yang sedari tadi risau akan keadaan neneknya langsung tidak mempedulikan pertanyaan itu. ”Nenek tak apa-apa ke?Kenapa dengan kaki nenek ni?Kenapa berdarah?Macam mana boleh jadi macam ni?” bertubi-tubi soalan diajukan kepada neneknya. Nenek mula mengerutkan dahinya.

”Nenek tak apa-apa,” balas neneknya tenang.

”Tapi kenapa kaki nenek berdarah? Siapa yang buat nenek?” sekali lagi soalan ditujukan kepada neneknya.

Dengan tenang neneknya menjawab,”Nenek tak apa-apa. Janganlah Zaidi risau. Nenek luka sikit je. Tadi masa nenek berkebun di belakang tu nenek tak perasan cangkul yang nenek letak kat sebelah kaki nenek. Nenek tersepak. Tu yang berdarah tu,..” belum pun sempat nenek meneruskan ceritanya, Zaidi menyampuk lagi. Risau sungguh dia terhadap keadaan nenek kesayangannya itu,” Jadi nenek tak pergi klinik ke? Kenapa tak mintak tolong Pak Kasim hantarkan nenek pergi klinik?”

Nenek menggeleng-gelengkan kepalanya,”Zaidi,Zaidi. Jangan risau. Sudah nenek pergi ke klinik tadi. Mujurlah ada Pak Kasim kau tadi. Kebetulan dia datang nak bagi baja yang nenek kirim semalam. Dialah yang bawak nenek pergi klinik tadi,”jelas nenek panjang lebar.”Zaidi dah makan ke belum ni?”tanya nenek yang baru perasan Zaidi masih lagi beruniform sekolah.

”Belum lagi. Tak apa lah. Nanti Zaidi masak nasi sendiri. Telur pun ada kan? Zaidi goreng je. Nenek berehat lah ya. Nanti Zaidi bawakkan makanan untuk nenek,”jawab Zaidi. Dia sememangnya tidak mahu menyusahkan neneknya tambahan pula neneknya sedang sakit. Namun nenek dengan selambanya terus bangun dari katil dan mula melangkah keluar dari bilik.

”Nenek nak ke mana tu?”soal Zaidi.

”Nak ke dapur la. Kan Zaidi belum makan lagi. Ni nenek nak masak la ni,”balas nenek.

”Nenek kan tak sihat, nenek duduk je la dalam bilik ni, berehat. Tak payah la susah-susah. Lagipun kan Zaidi pandai masak nasi sendiri, bukan susah pun. Setakat gorerng telur je bukannya susah,”nasihat Zaidi kepada neneknya. Namun nenek seakan-akan tidak mendengar kata-kata cucunya itu dan terus berlalu pergi meninggalkan bilik itu. Zaidi hanya mampu terdiam dan tidak mahu melawan kata-kata neneknya. Air mata mula menitis ke pipinya. Begitulah kasih sayang neneknya terhadap dirinya. Nenek sanggup melakukan apa sahaja demi Zaidi, cucu kesayangannya. Kerana itu jugalah dia tidak pernah melawan segala kata-kata nenek kesayangannya itu.

Kenangan bersama arwah nenek sangat istimewa buat Zaidi. Pemergian nenek dari hidupnya juga merupakan sebuah kehilangan yang tidak mampu untuknya menanggung seorang diri. Namun dia tahu dia harus tabah dan kehidupan mesti diteruskan.

Zaidi menunggang motosikal dengan lajunya. Kegembiraan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM itu patut dikongsikan segera dengan neneknya. Nenek adalah orang yang paling utama dan berhak mengetahui kecemerlangannya itu. Kejayaan yang terhasil daripada segala usahanya selama ini sememangnya direalisasikan demi nenek tercinta.

Setibanya di rumah, Zaidi terus mendapatkan neneknya,”Nenek!Nenek!”

laung Zaidi. Nenek yang ketika itu sedang membelek-belek pokok bunga dilaman terkejut dan terpinga-pinga mendengar suara Zaidi yang seolah-olah dikejar hantu itu. Namun senyuman manis di bibir Zaidi telah menghilangkan segala keraguan yang betandang di hatinya.

”Ada apa ni?”soal nenek setelah Zaidi turun dari motosikalnya.”Macam orang kena kejar hantu je,”

”Zaidi berjaya nek! Zaidi berjaya! Zaidi dapat 10 A,” beritahu Zaidi dengan suara yang lantang sambil tangannya memeluk-meluk tubuh neneknya itu. Pipi nenek dicium-cium berulang kali. Gembira sungguh Zaidi.

Nenek tersenyum sambil air mata kegembiraan menitis ke pipinya. ”Syukurlah. Segala usaha cucu nenek akhirnya berhasil,”hanya itu yang terungkap di bibir nenek tua itu.

Pada petang itu nenek memasak pelbagai jenis makanan untuk Zaidi. Walaupun ditegah Zaidi kerana takut-takut makanan itu tidak habis,membazir pula jadinya. Namun, nenek hanya teruskan sahaja niatnya dan alasannya untuk memberikan makanan itu kepada Pak Kasim yang hidup keseorangan di rumah sebelah. Dan Zaidi tidak mampu untuk melawan neneknya.

Ketika sedang membantu neneknya memasak, Zaidi berasa agak aneh dengan sikap neneknya yang agak senyap. Kebiasaannya nenek akan selalu bercerita dan bercakap tidak henti-henti.

”Kenapa nenek senyap je ni?”tanya Zaidi memecah kesunyian.

”Tak ada la. Nenek Cuma terlalu gembira dengan kejayaan cucu nenek ni ha,” air matanya sekali lagi menitis ke pipi.

”Tapi kenapa nenek macam sedih je? Tengok tu. Menangis pula,”balas Zaidi, sangsi.

”Nenek bukan sedih. Nenek terlalu gembira,” jelas neneknya. ”Zaidi..”perlahan suara neneknya.”Nenek nak ucapkan tahniah pada Zaidi. Nenek bangga dapat cucu macam Zaidi. Zaidi tak penah mengeluh dengan keadaan kita dan Zaidi sentiasa tabah menghadapi segala-galanya,” Zaidi terdiam.” Lepas ni Zaidi mesti kena sambung belajar. Zaidi kena buktikan kepada semua orang bahawa Zaidi mampu lakukan yang terbaik. Nenek harap lepas ni Zaidi dapat menjaga diri Zaidi sendiri sebaik ungkin.Zaidi kena ingat yang nenek ni dah tua dan tak mampu hidup lama. Bila nenek dah tak ada nanti Zaidi kena ingat yang nenek sentiasa sayangkan Zaidi. Jangan buat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah Zaidi. Ingat tu,” pesan nenek panjang lebar.

”Kenapa pula nenek cakap macam tu?lain macam je,”Zaidi berasa aneh.

”Tak ada apa-apa lah. Sudahlah tu. Mari tolong nenek masak,” jawab neneknya.

Selesai solat Maghrib pada malam itu, Zaidi terus menuju ke dapur manakala nenek masih lagi di atas tikar sembahyangnya untuk menunaikan solat sunat. Katanya ingin menunaikan solat sunat hajat. Ssetelah lebih setengah jam menunggu di dapur Zaidi berasa resah dan menuju ke bilik mencari neneknya. Sekilas pintu dikuak, Zaidi terus tergamam melihat sekujur tubuh yang masih bertelekung terbaring di atas sejadah.

”Nenek!” teriak Zaidi. Dia pantas mendapatkan tubuh neneknya yang sudah terbaring itu. Tangannya diletakkan ke pergelangan tangan neneknya. ”Innalillahi Wa Inna Ilaihi Roji’un” hanya itu yang terlafaz di bibirnya. Air mata mula membasahi pipinya. Kesedihannya tidak dapat diluahkan dengan kata-kata. Sekujur tubuh yang tadinya menjadi makmum di belakangnya kini tidak lagi bernyawa.

Mata Zaidi mula berkaca. Panrtas dia menyeka air mata itu sebelum sempat jatuh ke pipi. Setiap memori bersama arwah neneknya semamangnya sangat pilu baginya untuk dikenang. Kini, Zaidi kesayangan neneknya itu telah membuktikan kepada semua orang bahawa dia mampu menjadi insan yang berguna kepada mesyarakat setelah berjaya memiliki sebuah syarikat pakaian terbesar di Malaysia dengan lima cawangan di seluruh negara.

No comments: